Oct 31, 2010

ba-ro-kaf-ro-ya-alif

Assalamualaikum.

selamat berpetang.




BERKARYA adalah sebahagian daripada aktiviti yang memberi makna kepada artis. Ianya bergantung kepada sejauh mana bakat yang ada dan dedikasi dalam menampilkan satu cetusan karya. 



Situasi ini, memerlukan kemahiran mengolah dalam bahasa visual yang mendekatkan lagi kita dengan rahsia di sebalik penciptaan karya itu. Walaupun satu penghasilan seni tampak bukan semudah yang disebut, namun jika digagahi dengan kesungguhan, akan terhasil sesuatu yang dapat mengisi ketidakpuasan hati sendiri dan merangsang minda audiens untuk berfikir apa yang tersirat di sebalik pernyataan tampak. Untuk itu perlu ada strategi dan visi yang jelas, untuk apa dan kenapa hendak menghasilkannya?








Sentuhan rasa dan persepsi yang dipandu oleh pemikiran dalam menguasai warna, garis, ton dan ruang adalah suatu rahsia di sebalik sesebuah karya. Untuk memulakannya, patut kita berbalik kepada ilmu seni dan tafsiran seni itu yang tidak mengongkong hanya pada kanvas atau di dalam studio semata-mata. Penghasilan seni bukan hanya terhenti setelah karya itu siap dan dipamerkan. Ada lagi destinasi lain yang menyentuh gerak rasa, gerak hati dan gerak fikir yang mengajak kita sebagai pembuat seni untuk bersama berkongsi secara terbuka dan mengubah pemikiran orang ramai.


"Adakah karya yang dipamerkan itu membawa persoalan yang relevan dengan sosio budaya, isu terkini atau di sebaliknya? Kita juga dapat bertanya pada diri sendiri adakah karya yang dihasilkan sudah cukup matang? Juga perlu ditanya adakah kesinambungan idea dari karya itu dapat dilanjutkan ke pameran akan datang?"


Untuk membaca sesuatu hasil seni tampak bukannya seperti membaca sebuah buku. Ia memerlukan tatapan minda untuk mentafsir dan menterjemah bahasa visual itu kepada kefahaman seseorang yang berbeza latar belakang dan kefahaman. Perkara ini selalu diingati oleh pembuat seni yang setiap kali berpameran mencuba sesuatu yang boleh mendekati golongan pemerhati untuk terpukau dan menyatakan kepada diri sendiri bahawa ada suatu rahsia yang menarik di dalam karya ini.
Sesungguhnya artis perlu berpameran dan apakah tujuan berpameran itu? Artis perlu menterjemah dan membuat interpritasi secara teliti dari bahasa visual ke bahasa verbal supaya gagasan artis dapat sampai kepada audiens. Interpritasi itu harus ada di dalam katalog pameran yang sangat berharga untuk suatu ketika selepas pameran itu berakhir. Kehadiran buku lain juga berharga yang mendedahkan rahsia artis dalam mengolah idea, memeram dan menterjemahkannya ke atas kanvas, metal, kayu, batu atau apa saja bahan terbuang.


Semua persoalan ini akan mengisi jawapan kepada soalan kenapakah perlu artis bersusah payah untuk berkarya? 






Melalui sejarah, artis yang terus berjuang dalam seni segelintirnya akan terbelenggu dengan cita-cita sendiri malah tidak ada yang dijulang sehebat tokoh politik. Tanggapan masyarakat masih berada pada landasan yang sama dengan menganggap artis manusia biasa. Anggapan ini kalau dapat ditukarkan supaya manusia biasa yang digelar artis itu ada meninggalkan suatu khazanah kepada tamadun manusia melalui karya-karya seninya. Melalui khazanah seni itu terisi rahsia alam, ketuhanan, budaya dan pemikiran yang tidak ternilai. Sesungguhnya artis perlu berfungsi dan memulakan sesuatu secara praktikal iaitu bukan sekadar tahu membuat tetapi berilmu untuk mengkritik sebelum ia dikritik.



Dalam masa yang sama, artis juga menjadi audiens dan dalam ketika yang lain artis turut menjadi pengkritik. Seorang artis yang menunjukkan arah inovatif dalam melihat karya seni sebagai suatu seni visual yang unik akan mengambil masa untuk diterima ramai. Ia dikatakan membawa kelainan melalui inovatif penghasilan bentuk ke dalam ruang dan mengajak audiens melihat dari sudut pandangan yang luar biasa.


Audiens diajak untuk berfikir luar dari kebiasaan, di luar peraturan hidup dan inilah yang dikatakan unik dan kelainannya untuk seni. 



Untuk apakah artis perlu berkarya dan berpameran? Antara jawapannya secara ringkas ialah:


• Sebagai satu rakaman sejarah diri (rahsia diri), persekitaran, masyarakat dan budaya.


• Menghasilkan visualisasi kepada audiens yang tidak tahu apa yang telah, sedang dan akan berlaku.


• Pernyataan tampak dan perasaan artis sendiri tentang dunia realiti dan fantasi.


• Memusatkan karya kepada satu kepentingan untuk dihayati.


Kenyataan yang lazim kita dengar seperti sejauh manakah kemampuan artis berkreatif dalam mengeksploitasikan imej visual? Unsur kreatif dan kreativiti itu perlu dihayati dan diaplikasikan oleh seorang artis untuk berjaya mengangkat karya seninya atau mengagalkannya. Kenyataan ini sebenarnya merangsang artis untuk lebih bersemangat dan kemampuan artis meneruskan cita-cita berkarya.




Siapakah yang kreatif? Adakah artis itu lebih kreatif daripada insan-insan lain? Jika benar artis seorang insan yang kreatif, bagaimanakah mereka memperolehi kreativiti tersebut? Ini suatu persoalan yang selalu kita dengar dan jawapannya belum tentu dapat memenuhi kehendak semua pihak. Ada karya yang dihasilkan melalui cara artis memikirkan sesuatu yang di luar fikiran orang. Adakah karya sebegini dianggap karya yang kreatif?


Contoh penggunaan bentuk-bentuk dari objek asal berubah kepada objek yang lain yang berkonsepkan metamorphorsis. Artis dalam karyanya melihat imej asal dalam bentuk yang lain. Imaginasinya untuk menghasilkan bentuk asal dari keaslian yang sebenar bertukar menyamai bentuk-bentuk lain. Ada lukisan yang berbentuk lanskap diberi sentuhan warna yang tidak dijangka oleh audiens. Warna untuk pokok dan rumput dijadikan warna merah darah. Awan dan bayangnya bukan berwarna kelabu. Jalan raya diwarnakan dengan kuning. Penggunaan warna yang luar biasa telah mengubahkeadaan alam sebenar.





Barangkali artis hendak mengajar audiens untuk melihat keindahan alam sebenar bukan menerusi tingkap tetapi melalui lukisannya yang ganjil. Boleh juga menjadi kepercayaan kita bahawa warna-warna natural boleh dicipta kembali daripada imaginasi artis untuk membawa satu kejutan kepada orang ramai. Kedua-dua contoh gambaran dan imaginasi tadi adalah suatu penampilan yang lain daripada kebiasaan dan dianggap karya yang kreatif dilahirkan oleh insan kreatif. Adakah pendapat ini boleh diterima atau ada yang tidak bersetuju? Jika contoh tadi belum pernah dilakukan oleh orang lain dan dengan meninggalkan sesuatu yang pelik, adakah boleh diletakkan karya tadi sebagai suatu karya yang kreatif?




Kesimpulan kepada kita tentang apa yang sepatutnya terjadi memerlukan perubahan daripada yang asal kepada suatu penemuan baharu. Kedua-duanya menghasilkan kelainan untuk memperlihatkan personaliti masing-masing. Karya yang pertama cuba mencari kelainan melalui persoalan di sebalik metamorphosis,manakala karya kedua menampilkan warna sebenar ialah warna yang asli. Kedua-dua contoh karya ini mengajak kita berfikir bahawa sesuatu keaslian dari kreativiti itu adalah suatu yang terbalik dari kebiasaan yang asli. Adakah anda bersetuju dengan kenyataan ini?


Persoalannya siapakah yang kreatif? Adakah benar seorang artis itu lebih kreatif daripada manusia biasa? Atau mungkin benar, mungkin tidak dan bagi setengah pendapat untuk menjadi seorang yang kreatif, perlulah menghasilkan sesuatu yang baru. Ini bermakna perlu mencipta yang lain dari yang pernah wujud atas dasar kejujuran, minat, pengalaman dan kerajinan. 




Manakala antara artis dan audiens perlu dibina kreativiti supaya mata dan minda kedua-duanya terbuka. Perbandingan yang ditunjukkan tadi adalah dua contoh kelompok artis dalam mencari stail dan pengaruh. Perbandingan ini boleh dijadikan bahan dokumentasi yang ada rahsia di sebalik kreativitinya.


sekian~

1 comment:

  1. ini adalah antara blog terbaik selepas blog adamyana88..

    ReplyDelete